Jumaat, 8 Mei 2015

Cinta Mat Rock (Part 7)



Berkerut-kerut dahi Kak Moon melihat insan di hadapannya. Mata tengok televisyen kartun Connan tetapi bibir dari tadi tersengih-sengih, kemudian ketawa kecil sendiri. Dia tengok, kartun itu taklah kelakar pun.

'Adik aku ni... dah sasau ke? Tak pun dah kena sampuk hantu jembalang?' Kak Moon tertanya dalam hati.

Kak Moon perhati saja perlakuan adiknya. Dia pula sibuk mengelepet kulit karipap untuk digoreng petang nanti. Suami dan anak-anaknya keluar ke kedai buku.

"Mat..." serunya.

Adiknya itu buat tidak tahu saja. Keadaannya masih macam tadi. Tersenyum-senyum seorang diri. Dah kenapa pula si mat ini?

“Mat... oh... Mat."

Tetap juga Mat Rock begitu. Hilang sudah kesabarannya.

"Mat! Apa yang disenyumkan tu?" Seru Kak Moon lagi sedikit terjerit.

Tersentak Mat Rock. Terpinga-pinga dia seketika. Ditoleh seketika ke meja makan memandang Kak Moon.

"Haa?"

"Kau ni dah kenapa dik? Senyum sorang-sorang. Macam kena sampuk je akak tengok."
         
Mat Rock garu-garu kepala.

"Mana ada gua senyum sorang-sorang kak," Mat Rock cuba menafikan.

"Eh, kau jangan nak tipu akak. Apa ingat akak buta? Mata je tengok tv, tapi senyum-senyum macam kerang busuk. Ce lu cerita sikit dengan gua, bro." Kak Moon pantas merapati adiknya. Kerjanya tadi ditinggalkan begitu saja.

"Nak cerita apa? Tak ada apalah."

"Mat!" seru Kak Moon serius. Mata dikecilkan.

Mat Rock mengeluh. Kak Moon biasalah. Selagi tak dapat korek rahsia dia, selagi itu dia mendesak mahu tahu. Memang bertuah betul kakaknya yang comel bulat lagi kepoci ini.

"Okey... okey. Kak, gua nak tanya lu satu soalan. Boleh?" Akhirmya Mat Rock mengalah.

"Haa, apa dia? Cepatlah tanya."

Lidah tiba-tiba jadi kelu. Perlu ke dia tanya? Pasti Kak Moon berfikir bukan-bukan nanti. Tetapi, kalau tidak ditanya dia tak pasti tentang perasaannya pula. Dia ingin sangat tahu. Adakah simptom-simptom yang dilalui saat ini adalah simptom orang jatuh cinta? Yalah, setiap kali bersama Isadora, dia seperti rasa sesuatu yang ‘indah.’ Dia sendiri pelik dengan dirinya. Siang malam hanya Isadora yang dibayangkan. Puas dia cuba mengusir bayangan minah itu, namun tetap juga dia ada. Sebelum ini dia tak pernah pula mengalami simpton sebegini. Orang tak pernah bercinta la katakan!

"Hei dik! Berangan pula dia. Cepatlah!" gesa Kak Moon. Dia sudah hilang sabar. Nampak sangatlah adiknya itu berat untuk bercerita. Sengaja corner sana, corner sini.

"Sori. Okey. Kak, dulu lu dengan abang epul pernah bercinta?"

Berkerut dahi Kak Moon. Soalan jenis apa yang diutarakan adiknya ni? Lari dari tajuk betul!

"Hei... apa kena mengena cerita kau dengan zaman bercinta akak pula? Mesti la pernah. Kalau tak, akak kau ni tak kahwin dengan abang ipar kau tu. Tak la dapat anak saudara kau yang comel-comel belaka macam mama dia ni," ujar Kak Moon sambil menepuk dadanya sendiri. Sempat lagi memuji diri sendiri.

"Cehh! Sempat lu naik lif tekan sendiri eh kak. Gua nak tanya… macam mana perasaan lu masa dengan abang epul dulu? Boleh lu kongsi cerita sikit dengan gua?"

Makin berkerut dahi Kak Moon. Sah, adiknya sudah disampuk jembalang tanah! Tiba-tiba saja soal dia dengan soalan itu. Namun, dia layankan saja. Adik kan? Kalau tak dilayan, takut kecil hati pula.

"Hmm... Masa mula-mula kenal, akak rasa biasa je. Tak perasaan langsung, kosong. Yalah, nama pun mak yang kenenkan, mesti la akak tak terima. Awal-awal, menyampah. Tapi lama-lama... akak dapat rasa yang abang epul tu caring sangat terhadap akak. Tak pernah sekali pun ambil kesempatan kat akak..." kata-kata Kak Moon terhenti. Bibirnya tersenyum lebar. Pasti terkenang zaman dia dan suaminya bercinta dulu.

Mat Rock hanya diam. Mendengar saja.

"Kemudian, kita orang couple. Start dari situ akak rasa macam hari-hari nak jumpa. Kalau tak jumpa, mesej atau call pun dah cukup. Yalah, masa tu walaupun dah ada lesen dari mak, mak tetap tak galakkan keluar berdua sampai dah nikah. Nak keluar berdua, jadi betiga. Dengan kau sekali akak angkut. Ingat lagi kan? Lagi, kalau ada dengan abang epul akak sentiasa senyum. Abang epul kau pandai ambil hati akak. Akak sentiasa gembira kalau bersama dia. Walaupun kadang-kadang tu abang epul kau tu annoying, akak tetap tak jemu borak dengan dia. Dan, kadang-kadang akak rasa cemburu. Abang kau tu tak la hensem macam Shah Rukh Khan pun, tapi tetap juga ada yang sibuk menyendeng. Hmm, kantoi masa akak cek mesej dalam telefon dia. Masa tu hampir sebulan akak merajuk. Sampai akak minta putuskan hubungan. Tapi abang epul hari-hari dia cuba pujuk akak. Dia jelaskan kat akak perempuan tu sepupu dia. Dia kata sepupu dia tu syok kat dia, tapi abang epul layan macam adik je. Dia kata lagi, dia sayang sangat kat akak, tak nak putus dengan akak sampai menangis-nangis. Akhirnya, akak lembut hati juga. Kesian punya pasal. Hehehe...”

Mat Rock turut ketawa. Tak sangka pula abang iparnya yang tegas jadi lembut bila dengan kakaknya. Nampaknya perasaan dia pun sama seperti Kak Moon rasakan. Dia gembira bersama  Isadora. Dia juga cemburu apabila melihat Isadora berbual dengan Meon. Dan, fikirannya sentiasa teringatkan minah itu.

Hmm, dia saja yang rasa sepeti itu. Isadora? Tak mungkin la! Mana mungkin Isadora sukakan orang sepertinya. Dia hanya Mat Rock yang tiada apa-apa. Kerja pun biasa-biasa. Kuli pula tu. Sedangkan Isadora golongan elite. Simpan saja la perasaan itu Mat Rock!

"Dik, apasal kau sibuk nak tau zaman bercinta tok kaduk akak ni? Pelik bin ajaib betul la kau ni."

Mat Rock tersengih.

"Tak ada apa. Saja  gua nak tahu," acuh tak acuh saja dia jawap.

"Eleh... kau ni mesti ada apa-apa? Cuba terus terang dengan akak. Haa, yang tadi kau tersenyum-senyum pun belum jelaskan. Cepat cakap!" gesa Kak Moon lagi.

"Betul la, tak ada apa-apa. Dah la. Gua nak naik atas, nak membuta."

Cepat-cepat Mat Rock bangun. Baru pun setengah anak tangga, Kak Moon sudah melaung. Terhenti langkahnya.

"Mat! Akak dah tahu. Sebenarnya kau tengah dilamun cintakan? Betul tak? Dengan siapa? Dengan Mona eh?"

Terjengil biji mata Mat Rock mendengar nama itu disebut. Apa hal pula nama minah tu naik? Memang tak la!

"Gua sanggup tak kahwin kalau dengan Mona. Ah, malas la nak cakap. Lu pikir la sendiri!"

Mat Rock laju menapak ke tingkat atas. Tidur lagi baik dari melayan kakaknya itu. Busy body yang teramat!

"Perghh... Adik akak dah pandai bercintan cintun ni. Caya la lu bro!" jerit Kak Moon.

Mat Rock buat tidak dengar saja.


~*~*~*~*~*~


Menggagau tangan cuba mencapai telefon bimbit di atas meja. Mulut menguap besar. Sudah tidur pun masih mengantuk lagi. Dia menggeliat seketika.

"Pukul berapa ni?" Mat Rock tertanya sendiri. Skrin telefon dikerling sekilas. Sudah pukul 4.50 petang. Sudah masuk waktu asar.

"Eh, gua belum solat lagi ni. Waktu pun dah masuk."
Jangan ingat dia rockers, pakai seluar koyak kat lutut, dia tak solat. Solat der! Solat itukan tiang agama. Cepat-cepat dia bangun dan duduk di birai katil sebentar. Setelah pasti diri sudah tidak mamai barulah dia bangun. Namun, belum pun sempat dia melangkah, telefonnya berbunyi.

"Mak gua!"

Besar terus matanya. Pantas jari menekan butang hijau. Telefon dilekapkan ke telinga.

"Assalammualaikum! Mak, lu apa khabar?"

"Wa'alaikumsalam, bro. Mak sihat je. Kau macam mana?" balas orang di sebelah sana.

Mat Rock ketawa kecil dalam hati. Maknya juga seorang yang sempoi. Maknya pun minat lagu-lagu rock. Masa mak mengandungkan dia, mak kata dia suka dengar lagu-lagu abang Awie. Itu pasal la dia jadi rockers seperti sekarang. Kadang-kadang dia juga ber 'gua' ber 'lu' apabila bercakap dengan Mat Rock. Ini yang dikatakan peribahasa 'mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.'

"Gua macam biasa la mak. Sihat wal'afiat."

"Syukur... Alhamdulillah! Dah sihat tu, tak reti-reti nak balik jenguk mak ke? Tunggu mak dah terlantar baru nak balik?"

Mat Rock tersengih sendiri. Kepala digaru-garu. Bukan dia tak mahu balik. Tetapi kesibukkan membelit diri.

"Mak, gua minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Gua bukan tak nak balik. Tapi, gua sibuk sikit. Dengan kerja hantar surat yang bertimbun, dengan gerai burger lagi. Jadual gua padat sikit bulan ni," ujar Mat Rock. Rasa bersalah menggunung dalam diri. Dia harap mak faham.

"Kau ni tak habis-habis sibuk. Ini baru mak sorang. Bila dah berbini nanti. Entah-entah nak bermanja kejap pun tak sempat," bebel mak.

Gulp! Mat Rock telan air liur. Mak kalau dah sebut 'bini'mesti ada sesuatu ni. Dia mula rasa tak sedap hati. Ini yang dia malas ni. Buat-buat tak dengar saja la.

"In sha Allah, minggu depan gua balik. Mak jangan risau erk."

"Yalah... Mak tunggu kepulanganmu, bro. Haa, tadi Kak Long kau ada call mak..."

Gulp! Sekali lagi liur ditelan. Apa hal Kak Moon telefon maknya? Ini mesti kakaknya mengadu sesuatu. Hish, mulut tempayan betul kakak kesayangannya seorang itu!

"Kenapa dia call?" Mat Rock sesaja tanya. Debar dia.

"Kak Long kau bagitau, kau dah dilamun cinta. Betul ke? Dengan siapa? Namanya apa? Anak siapa? Duduk dekat mana? Asal orang mana? Bila kau nak bawak bakal menantu mak tu jumpa mak?"

Gulp! Gulp! Laju bagai peluru berpandu saja soal mak. Mat Rock tepuk dahi. Matilah dia! Kak Moon ini pun satu. Dia belum cakap apa-apa sudah buat spekulasi. Nak-nak pula dengan mak. Memang macam lipas kudung la orang tua itu mahu tahu siapa bakal menantunya yang belum pasti lagi. Alahai, kakak! Aduhai, mak!

"Mana ada mak. Akak tu memandai je. Gua masih single lagi der..."

"Eleh, kau jangan nak sorok dengan mak kau ni. Seorang mak boleh rasa perasaan anaknya walaupun dia jauh. Cakap la. Dengan mak kau pun nak malu ke? Tak macho la der!"

"Ya Allah! Memang tak ada la mak. Siapa la nak kat gua ni mak? Rupa tak ada. Kerja pun despacth, jual burger je."

"Apa pula tak ada? Baka arwah bapak kau adalah baka paling hensem kat kampung ni dulu tau. Ramai awek-awek kat kampung ni dulu sibuk nak kejar dia walaupun kulit dia tak secerah mana. Tapi nasib baik la dia sangkut kat mak yang cun melecun dulu. Tak mungkin la kau tak ada yang suka langsung?"

Mat Rock garu-garu kening pula. Mak dan kakaknya sama saja. Suka sangat perasan sendiri. Lagi satu, suka desak orang! Huhuhu....

"Yalah... yalah. Nanti gua cuba cari kat pasar malam. Kut-kut ada jual selonggok dua awek cun kat situ. Nanti gua bawak jumpa mak eh?" Mat Rock berloyar buruk.

"Ek eh, budak ni... Aku ketuk juga dengan buntut periuk nanti karang! Boleh dia main-main kan kita!"

Mat Rock ketawa. Dia tahu pasti maknya sudah naik hantu. Setiap kali mak menimbulkan soal jodoh, pasti ada saja jawapnya sehingga orang tua itu naik angin. Mujur juga dia jauh, kalau tak pasti sudah benjol kepalanya diketuk mak.

"Okey la mak. Gua nak letak ni. Asar tak tunaikan lagi. Kata orang 'sembahyang la kamu sebelum kamu disembahyangkan."

Dia mahu segera 'melarikan' diri dari perbualan ini. Kalau tak panjang berjela lagi la maknya membebel. Tujuh hari, tujuh malam pun belum tentu habis!

"Tengok tu! Kita belum habis cakap lagi dia sibuk nak letak," rungut maknya. Terdengar keluhan kasar di hujung talian.

"Mak, gua sayang lu dunia akhirat. Jumpa next week. Nanti apa-apa gua call eh. Assalammualaikum!"

Talian terus dimatikan. Sempat juga dia mendengar suara maknya menjerit memanggil namanya. Dia buat tidak tahu saja. Lagi lama dia layan, makin berasap telinganya nanti.

"Mat!”


~*~*~*~*~*~


Usai saja mengerjakan solat. Mat Rock terus turun ke bawah. Tadi sebaik saja buka pintu bilik dia terdengar suara perempuan bukan milik Kak Moon. Dia hanya terpaku di hujung tangga untuk memastikan suara siapakah itu.

"Hai abang!" Tiba-tiba Mona muncul di hadapannya.

"Hoi! Mak kau hantu!"

Terkejut dia dibuatnya sampai terduduk. Dada yang laju berdegup dipegang. Laju macam lari 100 kilometer dalam masa 1 saat. Macam nak terkeluar jantung rasanya.

"Aduh, Mona! Lu apa hal main cak-cak bah dengan gua ni? Kering darah gua. Silap hari bulan boleh masuk ICU tahu tak?" marah Mat Rock.

Dia bangun berdiri. Tanpa dipinta, Mona memegang lengannya untuk membantu dia bangun. Cepat-cepat dia tepis tangan minah itu dari lengannya dan mengucapkan terima kasih.

"Sori la bang. Mona tak sangka abang boleh terkejut sampai macam tu. Sori eh..." ucap Mona dengan nada menggoda. Siap jari telunjuknya diusap lembut ke lengan Mat Rock lagi.

Geli geleman pula Mat Rock melihatnya. Aksi Mona gedik habis. Naik bulu romanya. Pantas dia berlalu ke ruang tamu. Dia pandang sekeliling ruang tamu. Tiada kelibat ahli-ahli lain dalam rumah ini.

'Ya Allah, mana dorang semua ni? Tinggalkan gua macam tu je. Dengan si gedik ni pula tu. Bahaya! Bahaya!'

"Abang... abang marah Mona ke?" tanya Mona sambil membuntutinya.

"Tak. Tapi jangan buat macam tu lagi. Kalau lu buat macam macam tu lagi, esok lusa bertiang dua la gua ni Mona. Err... mana kak long, abang epul dengan anak-anak dorang? Macam mana lu boleh masuk sini?"

Takkan la Kak Moon membenarkan minah ini masuk pada saat dia tinggal seorang di rumah? Gila ke! Habis macam mana pula dia ni boleh ada di sini?

"Kenapa? Abang Mat takut erk... berdua-duaan dengan Mona? Takut kena tangkap basah ke? Wah, bestnya kalau kena tangkap basah dengan abang. Boleh kahwin free. Mona pun dah siap sedia jadi isteri abang tau," ujar Mona girang mengada-ngada. Senyumnya pun senyum lain macam. Senyum gatal!

Seram Mat Rock mendengar. Meremang bulu romanya.

"Hish... choi! Minta dijauhkan."

Cemberut wajah Mona.

"Abang ni... cakap macam tu, macam tak sudi je nak memperisterikan Mona. Apa kurangnya Mona? Mona reti masak. Reti kemas rumah. Reti jaga anak. Pokonya semua la Mona tau buat," ujar Mona lagi. Bunyinya seperti mahu mempromosikan diri saja.
Semakin meremang bulu roma Mat Rock.

"Merepek la lu Mona. Dah la. Jom borak lat luar je. Apa kata orang nampak kita berduaan dalam rumah."

Tanpa menunggu lama Mat Rock melangkah keluar. Takut bala menimpanya jika terus berdua dengan Mona di dalam. Sebaik saja kaki melangkah keluar, Amar dan Amira sedang membaca buku. Lega hatinya. Dia fikir hanya berdua dengan Mona saja.

"Mira, Amar... mama dan papa mana?"

"Mama gi kedai depan kejap. Papa pula gi jumpa kawan, Pak Ngah," jawap Amar lalu meneruskan semula pembacaannya. Mat Rock angguk kepala.

Tiba-tiba Mat Rock terasa ada seseorang berdiri rapat di sebelahnya. Mereka berlaga lengan. Dia menoleh ke sebelah. Hmm... Mona lagi! Pantas dia menjauhkan jarak antara mereka. Segan apabila Amira dan Amar memandang mereka.

"Hehe... sebenarnya tadi Mona saja lalu depan rumah abang ni. Lepas tu, Kak Moon minta tengokkan dorang kejap. Dia nak ke kedai. So, Mona pun tunggu la," terang Mona dengan sengih.

"Oh..." Itu saja balas dari Mat Rock.

"Abang mesti ingat kita berdua je kan? Ini mesti abang pun tak sabar nak jadi suami Mona. Dalam otak mesti abang fikir, bestnya kalau betul-betul kena tangkap basah dengan Mona. Cuma abang malu nak mengaku. Kan? Kan? Kan?"

Tanpa sedar Mat Rock menekap mulut Mona dengan  telapak tangannya. Dia sudah terlupa batas sentuhan antara minah itu gara-gara mulut lancang Mona.

"Syhhh... Diam la Mona! Tak tahu malu ke cakap macam tu depan budak-budak ni. Lu ni kan... mulut memang insurans mati ke apa!"

Usai kata Mat Rock pantas melepaskan tangannya dari bibir Mona. Baru dia perasan dia sudah lepas laku.

Mona hanya sengih. Hujung bibir digigit sambil buat aksi manja. Lagaknya seperti mahu menggoda Mat Rock saja.

"Opss... sori."

Mat Rock menjeling Mona. Pening kepalanya melayan minah ini. Boleh tumbuh uban di kepala rasanya jika melayan Mona terus-terusan.

"Mira, Amar main kat sini je tau. Ada Kak Mona tengok-tengokkan korang. Pak Ngah nak naik atas balik. Nanti mama korang dah balik, panggil Pak Ngah eh?"

Kedua-dua anak saudaranya angguk saja.

“Eh, abang! Nanti la dulu. Teman la Mona borak,” rengek Mona. Siap kaki dihentak-hentak ke lantai. Amar dan Amira yang melihat aksinya segera tutup mulut tahan ketawa. Macam kanak-kanak Ribena pula Mona ini. Lebih dari mereka yang kana-kanak.

“Lu borak la dengan budak berdua ni. Gua ada kerja kat atas.”

“Apa yang Mona nak borak dengan dorang ni? Dorangkan budak kecik lagi. Mana reti borak cara orang besar. Abang la borak dengan Mona,” rengek Mona lagi.

“Amar, Amira nanti borak dengan Kak Mona eh. Pak Ngah naik atas dulu.”

Tanpa mempedulikan Mona lagi, Mat Rock terus melangkah ke tangga. Baik dia duduk saja di atas sementara menunggu Kak Moon balik. Kalau di bawah entah apa-apa si Mona itu mahu lakukan untuk menggoda perasaannya. Dia cukup menyampah dengan kegedikkan minah itu.



Bersambung....

pst: Assalammualaikum! Berjumpa lagi kita dalam CMR. Pada yang baca tu terima kasih banyak. Drop komen di bawah kalau sudi. Enjoy reading! ^_^






4 ulasan:

Unknown berkata...

Cayala lu bro.dgn mak pun ckp gua-lu.pergh.mona 2 ei gediks mcm kucing parsi pula.heh

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Hehe. Anak beranak sempoi. Tqvm kak ^_^

aku_runsing berkata...

Assalamualaikum...
kali pertama kak baca cerita ni...
jujur kak cakap memang bapakkkkkk best...
serius..kalau adik majukan ke mana2 publisher...memang boleh terbit cerita ni...

dah siap ke dik ceritanya???
apa pun selamat maju jaya ye...

karyaarisaaleya.blogspot.com berkata...

Wa'alaikumsalam kak. Tq sbb sudi baca karya ira ni. Blum siap lg. Tp in sha Allah, ira cuba utk siap kn dan buat yg terbaik. ^_^